Friday, March 23, 2012

Kaedah-Kaedah Penyelidikan Ilmiah (Kuantitatif & Kualitatif)


KAEDAH-KAEDAH PENYELIDIKAN ILMIAH
(KUANTITATIF DAN KUALITATIF)
KUMPULAN:B


1.0 PENGENALAN
Kaedah merupakan cara atau jalan menyelesaikan permasalahan penyelidikan. ‘Kaedah penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai segala objektif penyelidikan’(Ahmad Mahdzan Ayob 1995:44). Selepas menetapkan masalah yang hendak dikaji, barulah difikirkan kaedah penyelidikan yang sesuai digunakan.
Adalah salah sekiranya penyelidik menentukan kaedah sebelum ada persoalan. Secara umum kaedah utama penyelidikan untuk mendapatkan data terbahagi kepada dua, iaitu dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif. Penyelidik boleh memilih salah satu pendekatan ataupun menggabungkan kedua-duanya. Dihubungkan dengan teori-teori sosiologi, teori yang berbentuk makro selalunya akan menggunakan pendekatan kuantitatif sementara yang berbentuk mikro kebiasaannya menggunakan pendekatan kualitatif. 
Terdapat perbezaan antara penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan kualitatif . Pendekatan kuantitatif mengutamakan ‘kuantiti’. Penyelidikan kuantitatif melibatkan angka-angka, data-data numerikal atau statistik. Statistik melibatkan pengiraan-pengiraan seperti min, median, mod, peratusan, sisihan piawai, skor-Z, skor-T, varian, dan sebagainya.
 Pendekatan kuantitatif dikatakan lebih berstruktur , mempunyai darjah kekaburan yang minima, makna yang jelas, bercorak linear, mempunyai penjadualan yang jelas, dan menumpukan kepada hasil. Dari segi skop kajian ia boleh melibatkan responden yang besar. Pendekatan kualitatif pula berasaskan ‘kualiti’.
Ianya bersifat deskriptif yang lebih kepada penghuraian ‘makna’ perkara-perkara yang dikaji. Ia tidak mengutamakan data-data berbentuk numerikal. Ia kurang berstruktur, terbuka dan lebih menumpukan kepada proses. Skop kajiannya pula meliputi bilangan responden yang kecil.

2.0 KAEDAH-KAEDAH PENYELIDIKAN ILMIAH

2.1.1 PENDEKATAN KUALITATIF
Pendekatan kualitatif ialah prosedur penyelidikan yang menghasilkan data gambaran yang boleh diamati (Lexy, 2007), tradisi tertentu dalam ilmu pengetahuan sosial yang secara fundamental bergantung kepada pengamatan manusia dalam kawasannya sendiri dan berkait dengan orang-orang tersebut dalam bahasa dan peristilahannya (Kirk & Miller, 1986). Pendekatan kualitatif dalam penyelidikan ini adalah kajian kes, adalah suatu penyelidikan yang dilakukan terhadap suatu kesatuan sistem, sama ada yang berbentuk program mahupun kejadian yang terikat oleh tempat, waktu atau ikatan tertentu (Nana, 2005).
Kajian kes dilaksanakan untuk menghimpun data, memperoleh makna, dan memperoleh pemahaman daripada suatu kes. Proses pengumpulan data berdasarkan Cresswell (1998) iaitu mengenalpasti tapak atau individu, mendapatkan akses dan membina rekod, persampelan bertujuan, mengumpul data, merekod maklumat, menyelesaikan isu-isu lapangan dan menyimpan data.


2.1.2 PENDEKATAN KUANTITATIF
Pendekatan kuantitatif ialah penyelidikan yang menekankan kepada fenomena-fenomena objektif dan dikawal melalui pengumpulan dan analisis data (Nana, 2005; Chua, 2006; Fraenkel, 2007). Suatu penyelidikan yang melibatkan pengukuran pemboleh ubah kajian dengan menggunakan alatan saintifik dan eksperimen. Penggunaan ujian statistik terhadap sesuatu kajian adalah sebagai usaha untuk menerangkan, menjelaskan atau mencari perhubungan antara pemboleh ubah-pemboleh ubah dalam suatu penyelidikan.
Dalam kajian ini, untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang persepsi guru terhadap pelaksanaan polisi pemerkasaan guru, kepuasan kerja dan komitmen organisasi digunakan kekerapan, peratus dan min daripada skor yang diperoleh melalui soal selidik yang diserahkan kepada sampel kajian.
Manakala untuk menjelaskan pengaruh pemerkasaan guru terhadap kepuasan kerja dan komitmen organisasi digunakan ujian statistik analisis regresi linear berganda. Ujian ini untuk memperoleh keputusan tentang pengaruh pemerkasaan guru dalam enam dimensi secara bersama-sama dan pengaruh masing-masing dimensi pemerkasaan guru terhadap kepuasan kerja dan komitmen organisasi. Kajian ini adalah penyelidikan inferensi dan skor data yang diperoleh telah ditransformasi daripada skala ordinal (skala Likert) kepada skala selang, sehingga analisis regresi linear berganda ialah alat ujian yang sesuai.
Namun untuk menguji kesesuaian alat yang digunakan, terlebih dahulu dilakukan ujian andaian klasik yang terdiri daripada lima hal, iaitu normaliti,multikolineariti, autokorelasi, heteroskedastisiti, dan lineariti. Sedangkan untuk menguji hubungan antara kepuasan kerja dengan komitmen organisasi yang datanya berupa skala selang, maka digunakan ujian korelasi Pearson.

3.0 KEPENTINGAN KAEDAH PENYELIDIKAN ILMIAH

KAEDAH KUANTITATIF : penyelidikan tinjauan, persampelan, & eksperimen
KAEDAH KUALITATIF    : soal selidik, kaedah pemerhatian, & temubual
        i.                    
            i)Kaedah Kuantitatif
          
a) Penyelidikan Tinjauan
Penyelidikan tinjauan adalah untuk mengumpul maklumat dengan bertanya satu set soalan kepada satu sampel individu yang dipilih dari satu populasi yang hendak dikaji. Persoalan dalam kajian tinjauan sering kali mengenai kepercayaan, kegemaran, kesihatan, dan lain lain tingkah laku individu yang hendak diperhatikan. Topik yang diutarakan mungkin memerlukan pendapat atau sesuatu yang sensitif.
 Ia juga sesuai digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai pandangan, personaliti, tingkah laku atau sikap orang awam secara meluas dari satu kelompok yang besar. Ia melibatkan pengumpulan maklumat dari responden yang ramai. Kaedah tinjauan menggunakan soal selidik secara langsung atau pos, bantuan elektronik, temubual langsung, temubual melalui telefon dan lain lain untuk mengumpul data. Ia digunakan untuk mendapatkan satu penjelasan yang tepat terhadap ciri yang terdapat pada individu dalam kumpulan.
Dengan yang demikian, strategi penyelidikan tinjauan adalah lebih sesuai apabila kajian bertujuan sebanyak maklumat yang diperolehi mengenai satu populasi, satu sampel atau tinjauan yang melibatkan sekumpulan elemen yang kecil. Sampel ini mestilah mempunyai ciri ciri atau sifat sifat populasi berkenaan. Ini penting supaya maklumat yang dihasilkan melalui satu sampel yang kecil boleh memberi kenyataan dan gambaran umum tentang populasi yang dikaji.        

b) Persampelan
Kaedah persampelan merupakan pengambilan sebahagian pecahan dari suatu populasi atau juzuk penuh sebagai mewakili populasi atau juzuk itu (Kerlinger,1973). Sampel dalam kaedah persampelan merupakan satu subset populasi dan sampel berupaya mewakili keseluruhan populasi. Sampel atau responden-responden yang terpilih dalam soal selidik haruslah mengikut beberapa kriteria dan juga berkaitan dengan isu sama ada secara langsung atau tidak langsung. 
Terdapat beberapa kaedah persampelan, antaranya adalah persampelan berkebarangkalian dan persampelan tidak berkebarangkalian.Persampelan berkebarangkalian pula dibahagikan kepada sampel rawak mudah, sampel sistematik,  sampel berserta dan sampel berkelompok.  Persampelan tidak berkebarangkalian terdiri daripada sampel kuota, sampel "bola salji" dan sampel pertimbangan. Persampelan berkelompok digunakan apabila sesuatu populasi boleh dibahagikan kepada unit-unit dengan setiap unit mempunyai ciri-ciri populasi.  Selepas beberapa unit telah dipilih secara rawak, unsur-unsur dalam unit ini akan dipilih secara rawak untuk membentuk sampel berkelompok. 

c) Eksperimen
Dalam eksperimen saintifik, subjek yang akan dikaji secara rawak ditetapkan sebagai satu uji kaji. Kelompok uji kaji itu menerima ‘rawatan' dan keputusan yang diperolehi dibandingkan dengan kumpulan kawalan yang tidak mendapat rawatan.
Dalam dunia sebenar, sering kali mungkin tidak menjalankan penyelidikan uji kaji yang sebenar kerana kesukaran untuk mencari kumpulan kawalan yang mudah dipadankan dengan syarat-syarat kunci pembolehubah (seperti umur, jantina, pendapatan, gred kerja, dan sebagainya).
Sebaliknya, rekabentuk separa-eksperimen digunakan oleh penyelidik. Contohnya, terpaksa mengesan kewujudan kumpulan-kumpulan daripada mengesan lukisan pada sampel-sampel yang rawak.




      ii.            ii)Kaedah Kualitatif

a) Soal Selidik
Seterusnya, menerusi kaedah kualitatif tersebut dapat menyokong lagi dapatan kajian melalui pengagihan borang soal selidik (questionnaire designing) iaitu merupakan kaedah kuantitatif. Pendekatan kuantitatif merupakan kajian yang dapat menghasilkan dapatan kajian yang ‘valid’ dan ‘reliable’. Hal ini kerana, penggunaan kaedah kuantitatif ini dapat membuktikan kesahihan yang kukuh dengan menggunakan angka iaitu hasil daripada analisis. Dalam pembentukan borang soal selidik, teknik ‘open ended’, ‘close-ended’ dan ‘cotigency question’ akan digunakan.
Soal selidik ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan profil responden.
Manakala bahagian kedua, mengandungi soalan berskala likert bertujuan untuk mengetahui tahap kepentingan dan persepsi setiap elemen yang ada. Soal selidik juga membenarkan pengkaji untuk mendapat lebih informasi tentang sesuatu dalam masa yang singkat. Selain itu, hasil penyelidikan juga akan dapat diguna semula atau diulangi di kawasan-kawasan lain yang mempunyai ciri-ciri persekitaran yang sama dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan atau untuk mencadangkan sesuatu perubahan.

b)Kaedah Pemerhatian
Kaedah pemerhatian terbahagi kepada dua iaitu pemerhatian secara terus (Direct observation) dan Pemerhatian melalui penglibatan (Participant-observation). Kaedah pemerhatian secara terus ini melibatkan pemerhatian secara lansung seperti pengiraan jumlah pelajar yang di sebuah sekolah. Teknik ini biasanya tidak melibatkan komunikasi dengan manusia. Kaedah pemerhatian melalui penglibatan pula berasal dari bidang antropologi (kajian tentang kehidupan masyarakat). Penyelidik biasanya melibatkan diri dengan masyarakat yang hendak dikajinya untuk memahami dengan jelas sesuatu isu yang berkaitan dengan masyarakat tersebut.

c)Temu Bual
Disamping borang soal selidik, maklumat juga diperolehi dengan menggunakan kaedah temubual secara terus dengan pihak yang telah dipilih. Berdasarkan kaedah temu bual, kita dapat memperolehi maklumat berkaitan latar belakang, ciri-ciri serta maklumat-maklumat lain yang diperlukan. Kaedah ini dijalankan bagi individu yang tidak mempunyai masa atau kurang faham untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam borang soal selidik. Temu bual bersemuka berkemungkinan adalah kaedah pengumpulan data yang lebih mahal kerana ia mengambil masa yang lama, serta dapat meluangkan masa untuk beramah mesra dengan responden. Temubual berstruktur adalah kaedah yang terbaik bagi soalan terbuka dan mendapatkan maklumat responden secara terperinci.

4.0 PERBINCANGAN
Terdapat banyak perbezaan antara pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Dari sudut kaedah penyelidikan atau pendekatan kuantitatif menggunakan kaedah postivis, eksperimental, data numarika dan ujian statistik. Manakala penyelidikan kualitatif pula menggunakan kaedah interpretif, penghuraian, kajian  lapangan, kajian sejarah, kajian  kes, data verbal dan triangulasi data.
Selain itu, dari segi konsep utama pula ialah penyelidikan kuantitatif mengamalkan konsep variable, konsep hipotisis kepercayaan, operasional, kesahan dan signifikan. Sebaliknya kaedah kualitatif pula mengamalkan konsep makna, esei, pemahaman, pembentukan fenomena, konteks dan triangulasi.Seterusnya ialah perbezaan dari sudut bidang yang dikaji oleh penyelidik. Kaedah kuantitatif lebih menjurus kearah bidang sains asas, perindustrian, psikologi, sains politik, kejuruteraan, ekonomi dan pendidikan.
Manakala kaedah  kualitatif pula cenderung kearah bidang antropologi, kemasyarakatan, linguistic, sosiologi dan sejarah. Dalam menentukan tujuan pula, kaedah kuantitatif melihat kepada tujuan untuk menguji teori, membina fakta, menunjukkan perbezaan, menunjukkan hubungan, meramal tingkah laku dan menerangkan kejadian secara statistik. Berbeza pula dengan kaedah kualitatif iaitu membina tujuan untuk melengkapkan teori, meningkatkan kefahaman, menghuraikan kenyataan, menyatakan kejadian semulajadi dan menerangkan kejadian secara verbal.
Melihat pula perbezaan dari sudut reka bentuk kajian, kaedah kuantitatif berbentuk eksperimental, kuasi eksperimental, temubual berstruktur, pemerhatian berstruktur dan tinjauan. Kaedah kualitatif pula berbentuk pemerhatian, pemerhatian peserta, temubual tidak berstruktur, rujukan maklumat dokumentasi dan kajian kes. Dari sudut sampel pula, kaedah kuantitatif mengambil sampel bersaiz besar, kaedah persampelan kebarangkalian, pemilihan sampel secara rawak, kumpulan sampel kawalan dan sampel berlapis.
Manakala kaedah kualitatif pula, sampel yang diambil berskala kecil, persampelan bukan kebarangkalian dan pemilihan sampel dengan mempunyai tujuan berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik. Keupayaan keputusan yang digeneralisasikan adalah tinggi dengan menggunakan kaedah kuantitatif berbanding kaedah kualitatif.
Melihat perbezaan dari segi data pula, kaedah kuantitatif mengumpul data secara kuantiti, bilangan, pengukuran dan statistik.  Manakala kaedah kualitatif pula menjurus kearah penghuraian deskriptif, nota pandangan, catatan verbal, rakaman pemerhatian atau temubual dan maklumat dari bahan dokumentasi.
 Dari sudut analisis data pula, kaedah kuantitatif menganalisis data secara deduktif dan statistik. Manakala kaedah kualitatif pula menganalisis secara tertutup, dalam jangka masa yang panjang dan secara mendalam. Seterusnya perbezaan dari segi format instrument untuk membentuk data pula, kaedah kuantitatif adalah lebih formal, spesifik, struktur, telah ditetapkan dan menggunakan skala. Manakala kaedah kualitatif adalah sebaliknya.


5.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, penyelidikan ilmiah penting dalam membantu manusia untuk mengetahui, mengetahui dirinya, alam sekelilingnya, masyarakatnya, negaranya dan segala-galanya yang terfikir olehnya. Keinginan mengetahui sesuatu perkara ini telah mendesak manusia untuk melakukan penyelidikan yang kemudiannya membantu memperluaskan ilmu pengetahuan sedia ada.
Tambahan pula, kaedah penyelidikan ilmiah merupakan kaedah pengkajian menerusi penyiasatan yang tuntas dan teliti terhadap semua bukti yang diperoleh berkaitan dengan masalah yang dinyatakan, sehinggalah kita sampai kepada penyelesaian masalah tersebut. Sebelum sesuatu penyelesaian masalah itu diperolehi, pelbagai perkara yang diambil kira dalam penyelidikan ilmiah ini iaitu antaranya teori, masalah, rangka kerja, hipotesis, data, alat bantu dan kebebasan. Mengambil kira atas semua faktor-faktor ini akan membawa kepada keberkesanan penyelidikan dengan penemuan penyelesaian masalah  berkaitan dengan fenomena yang diselidiki. Bagi memudahkan penyelidikan ini dilakukan, maka wujudnya pelbagai kaedah seperti kaedah kualitatif dan kaedah kuantitatif.
Sungguhpun terdapat perbezaan-perbezaan kualitatif dan kuantitatif, kedua-duanya merupakan kaedah penyelidikan yang empirikal. Semua penyelidikan empirikal mempunyai persamaan-persamaan asas seperti mempunyai matlamat, sistematik dalam prosedur, membuat perbandingan, membuat deskripsi, menguji hipotesis, membuat penjelasan sebab dan akibat dan membuat analisa kritikal. penyelidik boleh memilih salah satu daripada pendekatan terutamanya berdasarkan masalah dan keluasan skop kajian yang akan dilaksanakan. Sekiranya kajian penyelidik melibatkan jumlah responden yang besar misalannya melebihi empat puluh orang, pendekatan kuantitatif lebih sesuai. Sekiranya penyelidik cuma memilih bilangan responden yang kecil, misalnya lima orang, maka pendekatan kualitatif dipilih. 
Dalam kajian ‘sekularisasi’, sekiranya penyelidik ingin menyelidik seluruh komuniti sekolah, penyelidik mungkin akan menggunakan kuantitatif kerana sampel yang besar diperlukan. Sekiranya kajian hanya melibatkan sebilangan kecil murid dalam sebuah bilik darjah yang mempunyai tiga puluh orang murid, penyelidik mungkin lebih sesuai memilih pendekatan kualitatif. Penyelidik juga boleh menggunakan kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif dalam satu kajian yang sama. Penyelidik harus ingat bahawa isu utama yang menjadi asas kepada kaedah penyelidikan adalah permasalahan, bukan kaedah menentukan penyelidikan. Dengan kata lain setiap penyelidikan bermula dengan masalah, bukan metodologi. Setelah ada permasalahan barulah data-data dicari melalui metodologi-metodologi dan strategi pilihan sesuai.





6.0 BIBLIOGRAFI
      1.            Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan, Quantum Books,  Tanjung Malim.
      2.            Aini Hassan. 2007. Kualitatif Atau Kuantitatif ?: Memahami Andaian Asas Yang Mendasari Penyelidikan Pendidikan. Masalah Pendidikan. 30 (1). Halaman 7-16. ISSN 0126-5024
      3.            Alex Inkeles, 1982, Apa Itu Sosiologi ? Suatu Pengenalan Mengenai Disiplin dan 
Profesion, Universiti Harvard, DBP, Kuala Lumpur.
      4.            Creswell, J. W. (2003). Research design: Qualitative, quantitative, and mixed methods
      5.            Kenneth D. Bailey, 1992, Kaedah Penyelidikan Sosial, DBP, Kuala Lumpur.
      6.            Lim Chong Hin, 1998, Penyelidikan Pendidikan Penyelidikan Kuantitatif dan Kualitatif.Mc Graw Hill Education.
      7.            Mohd. Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan,   Thinker’s Library Sdn.Bhd., Selangor.
      8.            Sulaiman Masri ,2005,Kaedah Penyelidikan Dan Panduan Penulisan, Utusan Publishing & Distributors, Kuala Lumpur .
      9.            Tan Ching Kwang, 1985. Malay Proverbs. Kuala Lumpur. Graham Brash.
  11.            http://karyawanluarnegara.com/?p=781
Share This

No comments:

Contact Us

So you think we’re the right folks for the job? Please get in touch with us, we promise we won't bite!



Distributed By Ruzend Studio | Designed By Ruzend